Penggunaan saksama ialah doktrin undang-undang yang mengatakan bahawa penggunaan bahan yang dilindungi hak cipta di bawah keadaan tertentu dibenarkan tanpa kebenaran daripada pemegang hak cipta.
YouTube menerima banyak permintaan untuk mengalih keluar video yang didakwa oleh pemegang hak cipta sebagai melanggar undang-undang hak cipta. Kadangkala permintaan ini dikenakan pada video yang layak untuk pengecualian hak cipta atau kelihatan seperti contoh yang jelas bagi penggunaan saksama.
Jika penggunaan bahan yang dilindungi hak cipta dalam video layak untuk pengecualian hak cipta, maka video itu dianggap sah dan bukan pelanggaran. Oleh sebab itu, kami sering meminta pemegang hak cipta untuk memikirkan sama ada kandungan layak atau tidak untuk pengecualian hak cipta sebelum menyerahkan permintaan pengalihan keluar hak cipta kepada YouTube. Jika pemegang hak cipta yakin bahawa video tidak layak untuk pengecualian, maka pemegang hak cipta mestilah memberikan penjelasan sebab yang mencukupi kepada kami.
Pengecualian hak cipta di seluruh dunia
Walaupun peraturan antarabangsa tentang pengecualian hak cipta lazimnya serupa, peraturan tersebut mungkin juga berbeza-beza. Setiap negara dan rantau menggunakan peraturan yang berbeza untuk menentukan keadaan yang membolehkan penggunaan bahan yang dilindungi hak cipta tanpa kebenaran pemegang hak cipta.
Di Amerika Syarikat, karya ulasan, kritikan, penyelidikan, pengajaran, atau laporan berita boleh dianggap sebagai penggunaan saksama. Di EU, lebih banyak pengecualian terhad dikenal pasti dan penggunaan itu mestilah sepadan dengan kategori tertentu, seperti petikan, kritikan, ulasan, karikatur, parodi, dan pastis. Negara/rantau lain menggunakan konsep yang dipanggil urus niaga saksama yang mungkin berfungsi dengan cara yang berbeza.
Pada dasarnya, mahkamah menentukan kes penggunaan saksama berdasarkan fakta bagi setiap kes yang unik. Anda mungkin mahu mendapatkan nasihat undang-undang daripada pakar sebelum memuat naik video yang menggunakan bahan yang dilindungi hak cipta.
Empat faktor penggunaan saksama
Di Amerika Syarikat, hakim menentukan bahan yang dianggap sebagai penggunaan saksama. Hakim akan mempertimbangkan kesesuaian empat faktor penggunaan saksama dengan setiap kes tertentu. Empat faktor penggunaan saksama ialah:
1. Tujuan dan sifat penggunaan, termasuk sama ada penggunaan tersebut bersifat komersial atau untuk tujuan pendidikan yang tidak bermatlamatkan keuntungan
2. Sifat karya berhak cipta tersebut
3. Jumlah dan saiz bahagian yang digunakan berbanding dengan seluruh karya berhak cipta tersebut
4. Kesan penggunaan terhadap potensi pasaran, atau nilai karya berhak cipta itu
Inisiatif perlindungan penggunaan saksama YouTube
Dalam beberapa kes yang jarang berlaku, kami telah meminta pencipta YouTube untuk menyertai inisiatif yang melindungi beberapa contoh “penggunaan saksama” pada YouTube daripada permintaan pengalihan keluar hak cipta. Melalui inisiatif ini, YouTube melindungi pencipta apabila video penggunaan saksama mereka tertakluk pada permintaan pengalihan keluar dengan kos guaman yang mencecah hingga $1 juta sekiranya pengalihan keluar itu membawa kepada tuntutan mahkamah atas pelanggaran hak cipta.
Matlamat inisiatif ini adalah untuk memastikan pencipta ini berpeluang untuk melindungi karya mereka. Inisiatif ini juga bertujuan untuk meningkatkan dunia kreatif dengan memberikan pendidikan tentang kepentingan dan had penggunaan saksama. Oleh sebab setiap negara/rantau menggunakan peraturan yang berbeza untuk mengawal penggunaan sedemikian, sebagaimana yang diterangkan di atas, kami hanya dapat menawarkan inisiatif ini kepada pencipta di Amerika Syarikat yang bersetuju untuk menjadikan video mereka tersedia hanya di Amerika Syarikat.
Maklumat lanjut
Jika anda mahu mengetahui penggunaan saksama dengan lebih lanjut, terdapat banyak sumber yang tersedia dalam talian. Laman yang berikut hanyalah untuk tujuan ilmiah dan tidak disokong oleh YouTube:
- “Code of Best Practices in Fair Use for Online Video” daripada Center for Media and Social Impact.
- Penerangan terperinci tentang Empat Faktor oleh Digital Media Law Project
- Indeks penggunaan saksama oleh Jabatan Hak Cipta AS