Kami mahu pencipta terus berasa seronok dan menonjolkan kreativiti, tetapi kami meminta anda mematuhi Garis Panduan Komuniti kami. Anda mestilah sentiasa berhati-hati apabila menyiarkan kandungan dalam talian dan meminta kebenaran sebelum anda memuat naik video yang menampilkan seseorang pada YouTube.
Sesiapa sahaja yang menyiarkan kandungan yang menampilkan individu bawah umur mestilah melakukan perkara yang berikut:
- Menghormati privasi. Dapatkan persetujuan daripada ibu/bapa atau penjaga sah individu bawah umur tersebut sebelum menampilkan mereka dalam video anda. Pastikan penyertaan mereka dalam video anda adalah secara sukarela.
- Menyaring ulasan pengguna pada video anda. Terdapat alatan yang boleh anda gunakan untuk menapis dan menyemak ulasan dan anda boleh membenderakan ulasan yang berunsur spam atau penyalahgunaan untuk kami semak.
- Mengurus tetapan privasi dan pembenaman video anda. Anda diberi beberapa pilihan untuk mengawal pengguna yang boleh melihat video anda dan cara video anda dikongsi pada laman web luaran.
Sila pastikan bahawa anda memahami dan mematuhi undang-undang. Anda mestilah mematuhi semua undang-undang, peraturan dan syarat yang berkaitan dengan kerjasama yang melibatkan individu bawah umur. Beberapa perkara yang perlu anda ketahui adalah seperti yang berikut:
- Permit: Semak undang-undang dan peraturan tempatan untuk mengetahui sama ada individu bawah umur dalam video anda memerlukan permit, pendaftaran, atau lesen untuk bekerjasama. Anda juga perlu mengetahui sama ada anda memerlukan permit atau keizinan untuk mengupah individu bawah umur.
- Upah/Perkongsian Hasil: Anda mestilah mematuhi undang-undang bersesuaian yang berkaitan dengan pembayaran upah individu bawah umur bagi kerja mereka. Dalam sesetengah keadaan, anda mungkin perlu membayar upah kepada individu bawah umur. Dalam keadaan lain, anda mungkin perlu memberikan perkongsian hasil yang anda terima daripada video kepada individu bawah umur tersebut secara terus, atau memperuntukkan sebahagian daripada hasil yang ditetapkan untuk individu bawah umur tersebut.
- Sekolah & Pendidikan: Penyertaan individu bawah umur dalam kandungan anda mestilah mematuhi semua undang-undang yang bersesuaian agar tidak menjejaskan persekolahan dan peluang mereka untuk mendapatkan pelajaran dan pendidikan yang mencukupi.
- Persekitaran Kerja, Waktu Kerja & Waktu Rehat: Persekitaran kerja mestilah selamat untuk individu bawah umur. Mereka mestilah diberi waktu untuk berehat, belajar dan berekreasi setiap hari. Individu bawah umur tidak boleh bekerja sehingga lewat malam. Anda juga perlu mematuhi semua undang-undang tempatan untuk waktu kerja dan had waktu bekerja bagi setiap hari/minggu.