Dasar penglibatan palsu

Keselamatan pencipta, penonton, dan rakan kongsi kami ialah keutamaan yang paling penting bagi kami. Kami mengharapkan sokongan anda untuk membantu kami melindungi komuniti yang unik dan ceria ini. Anda perlu memahami Garis Panduan Komuniti kami, dan peranan garis panduan itu supaya kita dapat bersama-sama melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan YouTube selamat. Luangkan masa untuk membaca dasar di bawah dengan teliti. Anda juga boleh melihat halaman ini untuk mendapatkan senarai penuh garis panduan kami.

YouTube tidak membenarkan apa-apa yang meningkatkan bilangan tontonan, suka, ulasan atau metrik yang lain secara palsu sama ada menggunakan sistem automatik atau dengan menyiarkan video kepada penonton yang tidak menaruh syak wasangka. Selain itu, kandungan yang dibuat semata-mata untuk menggalakkan keterlibatan pengguna (tontonan, suka, ulasan dsb.) juga dilarang.

Kandungan dan saluran yang tidak mematuhi dasar ini boleh ditamatkan dan dialih keluar daripada YouTube.

Penting:  Jika anda mengupah seseorang untuk mempromosikan saluran anda, keputusan mereka boleh menjejaskan saluran anda. Penggunaan kaedah yang melanggar dasar kami boleh menyebabkan pengalihan keluar kandungan atau saluran, sama ada tindakan itu diambil oleh anda atau individu yang anda upah.

Kami menganggap penglibatan sebagai sah apabila niat utama pengguna manusia adalah untuk benar-benar berinteraksi dengan kandungan. Kami menganggap penglibatan sebagai tidak sah, misalnya, apabila penglibatan berlaku secara paksa atau melalui penipuan, atau penglibatan itu bertujuan untuk menjana keuntungan kewangan semata-mata.  

Jika anda menemukan kandungan yang melanggar dasar ini, laporkan kandungan tersebut. Arahan untuk melaporkan pelanggaran Garis Panduan Komuniti kami tersedia di sini. Jika anda menemukan beberapa video atau ulasan yang mahu dilaporkan, anda boleh melaporkan saluran.

Erti dasar ini kepada anda

Jika anda menyiarkan kandungan

Jangan siarkan kandungan pada YouTube jika kandungan itu menepati mana-mana perihalan yang dinyatakan di bawah.

  • Mengandungi pautan kepada atau mempromosikan perkhidmatan pihak ketiga yang meningkatkan metrik seperti tontonan, suka, dan pelanggan secara palsu
  • Kandungan yang mengandungi pautan kepada atau mempromosikan laman web atau perkhidmatan kiraan tontonan atau permainan pelanggan pihak ketiga
  • Menawarkan langganan kepada saluran pencipta lain hanya jika mereka melanggan saluran anda (“langganan untuk langganan”)
    • Nota: Anda dibenarkan untuk menggalakkan penonton melanggan, menekan butang suka, berkongsi saluran anda atau memberikan ulasan
  • Kandungan yang menampilkan pencipta membeli tontonan mereka daripada pihak ketiga dengan niat untuk mempromosikan perkhidmatan

Dasar ini digunakan pada video, perihalan video, ulasan, strim langsung, dan mana-mana produk atau ciri YouTube yang lain. Perlu diingat bahawa ini bukan senarai yang lengkap.

Cara penglibatan diukur

Bilangan pelanggan yang dipaparkan pada tempat yang berikut akan dikemaskinikan dalam masa nyata:

  • Halaman utama saluran anda
  • Penukar akaun
  • Halaman tontonan video
  • Laman dan apl pihak ketiga yang menggunakan YouTube Data API

Bilangan pelanggan dalam YouTube Analytics mungkin berbeza daripada bilangan pelanggan pada saluran YouTube anda. Angka dalam YouTube Analytics dikemaskinikan kira-kira 48 jam kemudian. Penangguhan ini membolehkan kami melakukan pengesahan tambahan dan menapis ulasan spam untuk memaparkan angka yang tepat.

Trafik halaman yang didapati palsu tidak akan diambil kira pada YouTube dan boleh menyebabkan bantahan pada akaun anda. Akaun ditamatkan dan pelanggan yang dikenal pasti sebagai spam tidak akan diambil kira dalam jumlah bilangan pelanggan atau tontonan anda. Akaun dan pelanggan ini bukan penonton yang aktif, maka pengalihan keluar ini tidak akan menjejaskan tontonan atau masa tontonan anda.

Jika video anda pernah dialih keluar atas sebab permainan kiraan tontonan, lihat halaman ini dalam Pusat Bantuan untuk mengetahui lebih lanjut.

Contoh

Yang berikut ialah contoh kandungan yang tidak dibenarkan pada YouTube.

  • Testimoni video yang memaparkan kejayaan pencipta membeli trafik halaman palsu daripada pihak ketiga
  • Video yang memaparkan pencipta membuat pautan kepada penyedia trafik halaman palsu pihak ketiga dalam konteks promosi atau sokongan. Misalnya: “Saya mendapat 1 juta pelanggan melalui video ini dalam masa sehari dan anda pun boleh!”
  • Video yang cuba memaksa atau memperdaya penonton untuk menonton video lain melalui penipuan (misalnya: label kad maklumat yang mengelirukan)
  • Saluran yang dikhususkan untuk trafik penglibatan saluran palsu atau mempromosikan perniagaan yang diwujudkan semata-mata untuk tujuan ini

Ingat bahawa ini hanya beberapa contoh. Jangan siarkan kandungan jika anda berpendapat bahawa kandungan tersebut mungkin melanggar dasar ini.

Perkara yang akan berlaku jika kandungan melanggar dasar ini

Jika kandungan anda melanggar dasar ini, kami akan mengalih keluar kandungan dan menghantar e-mel untuk memaklumi anda. Jika kami tidak dapat mengesahkan bahawa pautan yang anda siarkan adalah selamat, kami mungkin mengalih keluar pautan tersebut. Sila ambil perhatian bahawa penyiaran URL yang melanggar dasar dalam video atau dalam metadata video boleh menyebabkan video dialih keluar.

Jika ini kali pertama anda melanggar Garis Panduan Komuniti kami, kemungkinan besar anda akan mendapat amaran tanpa penalti pada saluran anda. Anda akan diberi pilihan untuk menjalani latihan dasar untuk membolehkan amaran tamat tempoh selepas 90 hari. Tempoh 90 hari bermula dari tarikh latihan dilengkapkan, bukan dari tarikh amaran dikeluarkan. Walau bagaimanapun, jika pelanggaran dasar yang sama berlaku dalam tempoh 90 hari itu, amaran mungkin tidak akan tamat tempoh dan saluran anda mungkin akan mendapat bantahan. Jika anda melanggar dasar yang lain selepas melengkapkan latihan, anda akan mendapat satu lagi amaran.

Jika anda mendapat 3 bantahan dalam tempoh 90 hari, saluran anda boleh ditamatkan. Ketahui lebih lanjut tentang sistem bantahan kami.

Kami boleh menamatkan saluran atau akaun anda disebabkan oleh pelanggaran berulang terhadap Garis Panduan Komuniti atau Syarat Perkhidmatan. Kami juga boleh menamatkan saluran atau akaun anda selepas satu kes penyalahgunaan yang teruk, atau jika saluran dikhususkan untuk pelanggaran dasar tertentu. Kami boleh menghalang pesalah berulang daripada menjalani latihan dasar pada masa hadapan. Ketahui lebih lanjut tentang penamatan saluran atau akaun.

Adakah perkara ini membantu?

Bagaimanakah dapat kami meningkatkannya?
Cari
Kosongkan carian
Tutup carian
Menu utama
17356090552814404680
true
Cari di Pusat Bantuan
true
true
true
true
true
59
false
false
false
false