Kami tidak membenarkan kandungan yang menyasarkan seseorang dengan penghinaan yang berlarutan atau cacian berdasarkan ciri fizikal mereka atau status kumpulan yang dilindungi. Kami juga tidak membenarkan gelagat berbahaya yang lain, seperti ancaman atau doxxing. Sentiasa ingat bahawa kami mengambil pendekatan yang lebih keras terhadap kandungan yang menyasarkan golongan bawah umur.
Jika anda menemukan kandungan yang melanggar dasar ini, laporkan kandungan tersebut. Arahan untuk melaporkan pelanggaran Garis Panduan Komuniti kami tersedia di sini. Jika anda menemukan banyak video atau ulasan yang mahu dilaporkan, anda boleh melaporkan saluran tersebut. Untuk mendapatkan petua tentang cara anda boleh kekal selamat, memastikan akaun anda selamat, dan melindungi privasi anda, lihat Pusat Keselamatan Pencipta dan Kekal selamat pada YouTube.
Jika ancaman khusus dibuat terhadap anda dan anda berasa tidak selamat, laporkan perkara itu secara terus kepada agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan anda.
Erti dasar ini kepada anda
Jika anda menyiarkan kandungan
Jangan siarkan kandungan pada YouTube jika kandungan itu menepati mana-mana perihalan yang dinyatakan di bawah.
- Kandungan yang mengandungi penghinaan yang berlarutan atau cacian berdasarkan sifat intrinsik seseorang. Atribut ini termasuk status kumpulan yang dilindungi mereka, atribut fizikal, atau status mereka sebagai mangsa yang terselamat daripada serangan seksual, pengedaran imej keadaan intim tanpa persetujuan, penderaan domestik, penderaan kanak-kanak dan pelbagai lagi.
- Kandungan yang dimuat naik dengan niat untuk memalukan, memperdaya atau menipu kanak-kanak bawah umur. Hal ini bermakna kandungan yang berniat untuk membuatkan kanak-kanak bawah umur merasai emosi yang tidak menyenangkan, seperti berasa tertekan, malu, atau tidak berguna; berniat untuk menipu mereka agar mereka berkelakuan dengan cara yang mungkin membahayakan diri atau harta mereka; atau melibatkan diri dalam kutukan terhadap mereka. Kanak-kanak bawah umur ialah seseorang yang berumur bawah 18 tahun.
- Kandungan yang berkongsi, mengancam untuk berkongsi, atau menggalakkan orang lain untuk berkongsi maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti bukan awam (PII).
- PII termasuk, tetapi tidak terhad kepada, alamat rumah; alamat e-mel; bukti kelayakan log masuk, seperti nama pengguna atau kata laluan; nombor telefon; nombor pasport; rekod perubatan; atau maklumat akaun bank.
- Hal ini tidak termasuk menyiarkan maklumat awam yang tersedia secara meluas, seperti nombor telefon rasmi pejabat atau nombor telefon perniagaan.
- Dasar ini digunakan pada perkongsian PII milik anda sendiri, perkongsian PII orang lain, dan situasi apabila anda berkongsi PII secara tidak sengaja.
- Kandungan mestilah menunjukkan dengan jelas apabila PII palsu dikongsi. Contohnya, penggunaan bukti kelayakan log masuk yang palsu sebagai sebahagian daripada latihan.
- Kandungan yang menggalakkan gelagat berunsur penganiayaan, seperti penggempuran. Penggempuran berlaku apabila seseorang menggalakkan penganiayaan terancang terhadap orang yang dapat dikenal pasti pada atau luar YouTube.
- Kandungan yang mempromosikan teori konspirasi berbahaya atau yang menyasarkan seseorang dengan mendakwa mereka sebahagian daripada teori konspirasi yang berbahaya. Teori konspirasi yang berbahaya ialah teori yang dikaitkan dengan ancaman langsung atau tindakan ganas.
- Kandungan yang mengancam individu yang dapat dikenal pasti atau harta mereka. Perkara ini termasuk ancaman tersirat yang sebagai contoh, tidak mengkhususkan masa atau tempat tetapi mungkin menampilkan senjata.
- Kandungan yang menggambarkan pertemuan yang dirancang yang digunakan untuk menuduh individu yang dapat dikenal pasti melakukan salah laku yang tidak munasabah dan melibatkan kanak-kanak bawah umur, tanpa kehadiran penguatkuasaan undang-undang.
- Kandungan yang menggambarkan pejuang keamanan menahan atau menyerang seseorang, atau terlibat dalam pengejaran kenderaan yang berbahaya atau semberono untuk menangkap seseorang.
- Kandungan yang berseronok atas atau mempersendakan kematian atau kecederaan serius individu yang dapat dikenal pasti.
- Kandungan yang mensimulasikan individu yang telah meninggal dunia yang menceritakan kematian atau pengalaman keganasan mereka.
- Kandungan yang menggambarkan pencipta mensimulasikan tindakan keganasan yang serius terhadap orang lain. Contohnya, pelaksanaan hukuman mati, penyeksaan, pencacatan anggota badan, pembelasahan, dan pelbagai lagi.
- Kandungan yang mengandungi ugutan berterusan terhadap individu yang dapat dikenal pasti.
- Kandungan yang menafikan atau memperkecil-kecil peranan seseorang sebagai mangsa peristiwa keganasan teruk yang sahih dan mendapat liputan lengkap.
- Kandungan yang mengandungi gambaran seksual yang tidak diingini melibatkan individu yang dapat dikenal pasti. Perkara ini termasuk:
- Kandungan yang menggambarkan seseorang dengan cara yang lucah, merendahkan maruah, dan seksual yang eksplisit
- Kandungan yang berkongsi, meminta atau menunjukkan cara mengedarkan imej keadaan intim tanpa persetujuan
- Kandungan yang berfantasi, mengancam, atau menyokong serangan seksual
Dasar ini digunakan pada video, perihalan video, ulasan, strim langsung dan mana-mana produk atau ciri YouTube yang lain. Perlu diingat bahawa ini bukan senarai yang lengkap. Harap maklum bahawa dasar ini turut digunakan pada pautan luaran dalam kandungan anda. Pautan ini termasuk URL boleh klik yang menghalakan pengguna kepada laman lain dalam video dan bentuk lain secara lisan.
Pengecualian
Jika tujuan utama adalah untuk pendidikan, dokumentari, saintifik, atau seni, kami mungkin membenarkan kandungan yang mengandungi gangguan. Pengecualian ini bukan kebenaran untuk mengganggu seseorang. Beberapa contoh termasuk:
- Debat yang berkaitan dengan pegawai atau pemimpin berprofil tinggi: Kandungan yang menampilkan debat atau perbincangan masalah semasa berkaitan dengan individu yang mempunyai kedudukan kuasa, seperti pegawai kerajaan berprofil tinggi atau CEO syarikat multinasional utama.
- Persembahan berskrip: Penghinaan yang dibuat dalam konteks medium seni seperti satira berskrip, komedi spontan, atau muzik (seperti lagu kecam). Nota: Pengecualian ini bukan kebenaran untuk mengganggu seseorang dan mendakwa “Saya bergurau”.
- Pendidikan atau kesedaran tentang gangguan: Kandungan yang menampilkan gangguan sebenar atau yang disimulasikan untuk tujuan dokumentari atau dengan kesanggupan peserta (seperti pelakon) untuk memerangi pembulian siber atau meningkatkan kesedaran.
Nota: Kami mengambil pendekatan yang lebih keras terhadap kandungan yang menghina seseorang dengan niat jahat berdasarkan status kumpulan yang dilindungi mereka, tanpa mengira sama ada mereka individu berprofil tinggi atau tidak.
Pengewangan dan penalti lain
Dalam sesetengah keadaan yang jarang berlaku, kami mungkin mengalih keluar kandungan atau mengenakan penalti lain apabila pencipta:
- Menggalakkan gelagat khalayak yang berunsur penganiayaan secara berulang kali.
- Menyasarkan, menghina, dan menganiayai individu yang dapat dikenal pasti berdasarkan sifat intrinsik mereka merentas beberapa muat naik secara berulang kali.
- Mendedahkan risiko kecederaan fizikal kepada individu berdasarkan konteks sosial atau politik setempat.
- Membuat kandungan yang membahayakan komuniti YouTube dengan menimbulkan sikap ganas antara pencipta secara berterusan untuk mendapatkan keuntungan kewangan peribadi.
Contoh
Yang berikut ialah beberapa contoh kandungan yang tidak dibenarkan pada YouTube:
- Menunjukkan gambar seseorang, kemudian membuat pernyataan seperti “Lihat gigi makhluk ini, sungguh menjijikkan!”, dengan ulasan serupa yang menyasarkan sifat intrinsik sepanjang video tersebut.
- Menyasarkan individu berdasarkan keahlian mereka dalam kumpulan yang dilindungi, seperti dengan berkata: “Lihat [cacian yang menyasarkan kumpulan yang dilindungi] ini!”
- Menggunakan penghinaan melampau untuk menyahinsanikan individu berdasarkan sifat intrinsik mereka. Contohnya: “Lihat perempuan hodoh ini! Dia bukannya manusia biasa — dia mungkin sejenis mutan atau haiwan!”
- Menyasarkan individu dan menyuarakan hasrat untuk melihat kematian atau kecederaan serius terhadap mereka: “Saya amat benci akan dia. Saya berharap dia dilanggar lori dan mati”.
- Menggambarkan individu yang dapat dikenal pasti dibunuh atau mengalami kecederaan teruk. Contohnya: Video menyisipkan klip adegan filem yang memaparkan seorang watak ditembak dan dibunuh dengan kejam. Video itu telah diedit agar foto individu yang sebenar ditindihkan pada wajah pelakon itu.
- Mengancam keselamatan fizikal seseorang. Hal ini termasuk ancaman yang eksplisit seperti, “Apabila aku jumpa kau pada hari Sabtu, aku akan bunuh kau”. Hal ini termasuk membayangkan keganasan dengan membuat pernyataan seperti, “Jaga-jaga, aku akan cari kau” sambil mengayun-ayunkan senjata.
- Menyiarkan maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti bukan awam milik individu, seperti nombor telefon, alamat rumah, atau alamat e-mel, untuk mendorong perhatian atau trafik yang berunsur penganiayaan terhadap mereka. Sebagai contoh, dengan menyebut, “Saya memiliki nombor telefon mereka. Hubungi mereka dan tinggalkan mesej sehingga mereka menjawab panggilan!”
- “Serbuan” atau mengarahkan penganiayaan berniat jahat kepada individu yang dapat dikenal pasti melalui sembang suara atau mesej dalam permainan semasa strim.
- Mengarahkan pengguna untuk meninggalkan ulasan kata kesat dalam bahagian ulasan pencipta lain.
- Pemautan kepada laman luar platform yang mengehoskan atau menampilkan imej keadaan intim tanpa persetujuan.
- Meminta pengguna lain berhubung dengan satu sama lain untuk berkongsi imej keadaan intim tanpa persetujuan.
- “Panggilan palsu” atau panggilan usikan lain kepada perkhidmatan kecemasan atau respons krisis, atau menggalakkan penonton untuk bertindak dengan tingkah laku yang mengganggu ini atau sebarang tingkah laku mengganggu yang lain.
- Ugutan berterusan atau percubaan untuk memeras ugut pengguna.
- Kandungan permainan video yang telah dibangunkan atau dipinda (“diubah suai”) untuk menggalakkan keganasan terhadap individu.
Perlu diingat bahawa, senarai ini tidak menyeluruh. Jangan siarkan kandungan jika anda fikir kandungan tersebut mungkin melanggar dasar ini.
Perkara yang akan berlaku jika kandungan melanggar dasar ini
Jika kandungan anda melanggar dasar ini, kami akan mengalih keluar kandungan dan menghantar e-mel untuk memaklumi anda. Jika kami tidak dapat mengesahkan bahawa pautan yang anda siarkan adalah selamat, kami mungkin mengalih keluar pautan tersebut. Sila ambil perhatian bahawa penyiaran URL yang melanggar dasar dalam video atau dalam metadata video boleh menyebabkan video dialih keluar.
Jika ini kali pertama anda melanggar Garis Panduan Komuniti kami, kemungkinan besar anda akan mendapat amaran tanpa penalti pada saluran anda. Anda akan diberi pilihan untuk menjalani latihan dasar untuk membolehkan amaran tamat tempoh selepas 90 hari. Tempoh 90 hari bermula dari tarikh latihan dilengkapkan, bukan dari tarikh amaran dikeluarkan. Walau bagaimanapun, jika pelanggaran dasar yang sama berlaku dalam tempoh 90 hari itu, amaran mungkin tidak akan tamat tempoh dan saluran anda mungkin akan mendapat bantahan. Jika anda melanggar dasar yang lain selepas melengkapkan latihan, anda akan mendapat satu lagi amaran.
Jika anda mendapat 3 bantahan dalam tempoh 90 hari, saluran anda boleh ditamatkan. Ketahui lebih lanjut tentang sistem bantahan kami.
Kami boleh menamatkan saluran atau akaun anda disebabkan oleh pelanggaran berulang terhadap Garis Panduan Komuniti atau Syarat Perkhidmatan. Kami juga boleh menamatkan saluran atau akaun anda selepas satu kes penyalahgunaan yang teruk, atau jika saluran dikhususkan untuk pelanggaran dasar tertentu. Kami boleh menghalang pesalah berulang daripada menjalani latihan dasar pada masa hadapan. Ketahui lebih lanjut tentang penamatan saluran atau akaun.