Garis Panduan Komuniti ialah peraturan amalan lazim yang memperincikan cara pengguna berkelakuan pada YouTube. Dasar ini digunakan untuk semua jenis kandungan pada platform kami, termasuk kandungan tidak tersenarai dan peribadi, ulasan, pautan, siaran dan lakaran kecil. Senarai ini tidak lengkap. Jika kandungan anda melanggar Garis Panduan Komuniti kami, saluran anda mungkin akan mendapat bantahan.
Nota: Kami boleh mengalih keluar kandungan atas sebab selain pelanggaran Garis Panduan Komuniti. Contohnya, aduan privasi pihak pertama atau perintah mahkamah. Dalam keadaan ini, saluran anda tidak akan mendapat bantahan.
Berkarya dengan Akal Budi: Garis Panduan Komuniti YouTube
Perkara yang berlaku jika anda menerima bantahan
Apabila anda menerima bantahan, anda akan diberitahu melalui e-mel. Anda juga boleh memilih supaya pemberitahuan dihantar kepada anda melalui pemberitahuan mudah alih dan komputer anda, serta dalam tetapan saluran anda. Kami juga akan memaklumi anda:
- Kandungan yang telah dialih keluar
- Dasar yang telah dilanggar (contohnya, gangguan atau keganasan)
- Cara bantahan ini mempengaruhi saluran anda
- Perkara seterusnya yang boleh anda lakukan
Jika kandungan anda melanggar Garis Panduan Komuniti kami, yang berikut ialah kesan bantahan terhadap saluran anda:
Amaran
Kami faham kesilapan boleh berlaku dan anda tidak berniat untuk melanggar dasar kami — oleh sebab itu pelanggaran pertama hanyalah amaran. Untuk memastikan amaran ini tamat tempoh selepas 90 hari, anda boleh menjalani latihan dasar yang tersedia sebagai pilihan. Walau bagaimanapun, jika kandungan anda melanggar dasar yang sama dalam tempoh 90 hari tersebut, amaran tersebut tidak akan tamat tempoh dan saluran anda boleh mendapat bantahan.
Kadangkala satu kes penyalahgunaan yang serius akan menyebabkan penamatan saluran tanpa amaran. Jika anda berpendapat kami telah membuat kesilapan, anda boleh menyerahkan rayuan.
Latihan dasar pilihan
Latihan dasar ialah pengalaman pendidikan dalam produk yang pendek berdasarkan dasar Garis Panduan Komuniti tertentu yang telah dilanggar.
Jika anda menerima amaran Garis Panduan Komuniti, anda boleh mengakses latihan dasar daripada akaun Studio anda di mana-mana sahaja anda biasanya menyemak pelanggaran dasar anda. Tempat ini termasuk papan pemuka Studio dan tab Kandungan. Anda juga akan melihat pautan untuk membuka latihan daripada pemberitahuan e-mel dan sepanduk. Nota: Bukan semua amaran Garis Panduan Komuniti layak untuk latihan dasar.
Jika anda melengkapkan latihan dasar pilihan, amaran anda akan tamat tempoh selepas 90 hari. Tempoh 90 hari bermula dari tarikh latihan dilengkapkan, bukan dari tarikh amaran dikeluarkan. Jika anda melanggar dasar yang lain selepas melengkapkan latihan, anda akan mendapat satu lagi amaran.
Pelanggaran berulang terhadap dasar kami–atau satu kes penyalahgunaan yang serius– masih boleh menyebabkan penamatan akaun anda. Kami boleh menghalang pesalah berulang daripada menjalani latihan pada masa hadapan.
Bantahan Pertama
Jika kami mendapati bahawa kandungan anda tidak mematuhi dasar kami untuk kali kedua, anda akan mendapat bantahan.
Bantahan ini bermakna anda tidak akan dibenarkan untuk melakukan perkara yang berikut selama 1 minggu:
- Memuat naik video atau strim langsung
- Memulakan strim langsung yang dijadualkan
- Menjadualkan video untuk menjadi video umum
- Membuat Tayangan Perdana
- Menambahkan treler pada Tayangan Perdana atau strim langsung akan datang
- Membuat lakaran kecil tersuai atau siaran
- Membuat, mengedit atau menambahkan kolaborator pada senarai main
- Menambahkan atau mengalih keluar senarai main daripada halaman tontonan menggunakan butang “Simpan”
Kandungan umum anda yang dijadualkan akan ditetapkan kepada “peribadi” sepanjang tempoh penalti. Anda perlu menjadualkan video tersebut semula apabila tempoh larangan tamat.
Nota: Penalti bermula dari tarikh perakuan.
Selepas tempoh 1 minggu, kami memulihkan keistimewaan penuh secara automatik, tetapi bantahan kekal pada saluran anda selama 90 hari.
Bantahan juga boleh menyebabkan kehilangan akses kepada ciri lanjutan. Ketahui cara mendapat semula akses dengan lebih lanjut.
Bantahan Kedua
Jika anda menerima bantahan kedua dalam tempoh 90 hari yang sama dengan bantahan pertama anda, anda tidak akan dibenarkan untuk menyiarkan kandungan selama 2 minggu. Jika tiada masalah lain, selepas tempoh 2 minggu, kami akan memulihkan keistimewaan penuh secara automatik. Setiap bantahan tidak akan tamat tempoh hingga 90 hari dari masa bantahan itu dikeluarkan.
Bantahan Ketiga
Tiga bantahan dalam tempoh 90 hari yang sama mungkin akan mengakibatkan saluran anda dialih keluar secara kekal daripada YouTube. Setiap bantahan tidak akan tamat tempoh hingga 90 hari dari masa bantahan itu dikeluarkan.
Nota: Tindakan memadamkan kandungan anda tidak akan mengalih keluar bantahan. Kami juga boleh mengeluarkan bantahan Garis Panduan Komuniti pada kandungan yang dipadamkan. Anda boleh mengetahui maklumat lebih lanjut tentang masa kami mengekalkan kandungan yang dipadamkan dalam Dasar privasi kami.
Jika Saluran Rasmi Artis anda mendapat bantahan Garis Panduan Komuniti, saluran tersebut akan digantung dan menjadi saluran standard. Ketahui lebih lanjut.
Perkara yang perlu dilakukan jika anda menerima bantahan
Kami mahu membantu anda terus menggunakan YouTube, oleh itu, anda diingatkan untuk melakukan perkara yang berikut:
- Ketahui tentang Garis Panduan Komuniti kami untuk memastikan bahawa kandungan anda mematuhi dasar kami.
- Jika saluran anda menerima bantahan, dan anda berpendapat bahawa kami telah membuat kesilapan, sila beritahu kami. Anda boleh membuat rayuan terhadap keputusan di sini.
YouTube juga berhak mengehadkan keupayaan pencipta untuk membuat kandungan mengikut budi bicaranya. Saluran anda mungkin ditutup atau disekat daripada menggunakan sebarang ciri YouTube.
Jika perkara ini berlaku, anda dilarang daripada menggunakan, membuat, atau memperoleh saluran lain untuk mengelakkan sekatan ini. Larangan ini dikenakan selagi sekatan kekal aktif pada saluran YouTube anda. Pelanggaran pengehadan ini dianggap sebagai pemintasan menurut Syarat Perkhidmatan kami, dan boleh menyebabkan penamatan semua saluran YouTube anda yang sedia ada, sebarang saluran baharu yang anda buat atau peroleh, dan saluran yang anda ditampilkan secara berulang kali atau jelas.