Kandungan yang bertujuan untuk menyamar sebagai orang lain atau saluran tertentu tidak dibenarkan pada YouTube. YouTube turut menguatkuasakan hak pemegang tanda dagangan. Apabila saluran, atau kandungan pada saluran, menimbulkan kekeliruan tentang sumber barangan dan perkhidmatan yang diiklankan, saluran atau kandungan itu mungkin tidak dibenarkan.
Jika anda melihat kandungan yang melanggar dasar ini, laporkan kandungan tersebut.
- Jika anda berpendapat saluran anda atau pencipta lain mengalami penyamaran, anda boleh melaporkan saluran tersebut.
Erti dasar ini kepada anda
Jika anda menyiarkan kandungan
Jangan siarkan kandungan pada YouTube jika kandungan itu menepati mana-mana perihalan yang dinyatakan di bawah.
- Penyamaran saluran: Saluran yang meniru profil, latar, atau rupa dan gelagat keseluruhan saluran lain melalui cara yang membuatkan saluran itu kelihatan seperti saluran orang lain. Saluran itu tidak semestinya 100% sama, selagi wujud niat yang jelas untuk meniru saluran lain.
- Penyamaran peribadi: Kandungan yang bertujuan untuk kelihatan seperti orang lain yang menyiarkan kandungan tersebut.
Jika anda mengendalikan saluran peminat, pastikan anda menyatakan perkara tersebut secara jelas dalam nama atau nama pengguna saluran anda. Penonton anda seharusnya mengetahui dengan jelas bahawa saluran anda tidak mewakili pencipta, artis atau entiti asal yang diraikan oleh saluran anda.
Contoh
Yang berikut ialah contoh kandungan yang tidak dibenarkan pada YouTube.
- Saluran dengan pengecam yang sama (nama atau nama pengguna saluran) dan imej sebagai saluran lain, dengan satu-satunya perbezaan ialah ruang yang dimasukkan dalam nama atau sifar menggantikan huruf O.
- Penggunaan nama sebenar, nama pengguna, imej, jenama, logo, atau maklumat peribadi lain milik orang lain yang bertujuan untuk menipu orang supaya mempercayai anda merupakan individu tersebut.
- Persediaan saluran menggunakan pengecam yang sama (nama atau nama pengguna saluran) dan imej seseorang, kemudian berpura-pura seolah-olah individu tersebut yang menyiarkan kandungan pada saluran.
- Persediaan profil menggunakan nama dan imej seseorang, kemudian menyiarkan ulasan pada saluran lain seolah-olah ulasan tersebut disiarkan oleh orang itu.
- Saluran yang kononnya 'akaun peminat' dalam perihalan saluran, tetapi tidak dinyatakan dengan begitu jelas dalam nama atau nama pengguna saluran, atau menyamar sebagai saluran orang lain dan memuat naik semula kandungan mereka.
- Saluran yang menyamar sebagai saluran berita sedia ada.
Ingat bahawa ini hanya beberapa contoh. Jangan siarkan kandungan jika anda berpendapat bahawa kandungan tersebut mungkin melanggar dasar ini.
Perkara yang akan berlaku jika kandungan melanggar dasar ini
Jika kandungan anda melanggar dasar ini, kami boleh menamatkan saluran atau akaun anda. Ketahui lebih lanjut tentang penamatan saluran atau akaun.