Apakah itu hak cipta?

Di kebanyakan negara, apabila seseorang membuat karya asli yang ditetapkan dalam medium fizikal, mereka memiliki hak cipta terhadap karya tersebut secara automatik. Sebagai pemilik hak cipta, mereka mempunyai hak eksklusif untuk menggunakan karya tersebut. Dalam kebanyakan keadaan, hanya pemilik hak cipta yang berhak untuk menentukan sama ada orang lain dibenarkan untuk menggunakan karya tersebut atau tidak. 

Apakah jenis karya yang tertakluk pada hak cipta?
  • Karya audiovisual, seperti rancangan TV, filem, dan video dalam talian
  • Rakaman bunyi dan penggubahan muzik
  • Karya bertulis, seperti ceramah, artikel, buku, dan gubahan muzik
  • Karya visual, seperti lukisan, poster, dan iklan
  • Permainan video dan perisian komputer
  • Karya dramatik, seperti drama dan muzikal

Idea, fakta, dan proses tidak tertakluk pada hak cipta. Menurut undang-undang hak cipta, suatu karya mestilah kreatif dan mestilah ditetapkan dalam medium ketara untuk layak mendapatkan perlindungan hak cipta. Nama dan gelaran tidak, secara berasingan, tertakluk pada hak cipta.

Bolehkah saya menggunakan hasil kerja yang dilindungi oleh hak cipta tanpa melanggar hak tersebut?

Anda mungkin boleh menggunakan kandungan dilindungi hak cipta tanpa melanggar hak tersebut, seperti dalam keadaan pengecualian hak cipta, seperti penggunaan saksama dan urus niaga saksama, atau dengan mendapatkan kebenaran untuk menggunakan kandungan orang lain.

Jika anda bercadang untuk menggunakan muzik orang lain dalam video anda, ketahui lebih lanjut tentang pilihan anda untuk menggunakan muzik:

Pilihan untuk menggunakan muzik dalam video anda

 

Selain itu, sesetengah pencipta kandungan memilih untuk menjadikan karya mereka tersedia untuk digunakan semula dengan syarat tertentu yang dipanggil lesen Creative Commons.

Bolehkah YouTube menentukan pemilikan hak cipta?

Tidak. YouTube tidak boleh menjadi pengantara pertikaian pemilikan hak. Apabila kami menerima permintaan pengalihan keluar hak cipta yang lengkap dan sah, kami akan mengalih keluar kandungan itu menurut keperluan undang-undang. Apabila kami menerima pemberitahuan balas yang sah, kami akan memajukan hal ini kepada individu yang meminta pengalihan keluar tersebut. Selepas ini, terpulang kepada pihak yang terlibat untuk menyelesaikan masalah tersebut di mahkamah.

Adakah hak cipta sama dengan tanda dagangan?

Tidak. Hak cipta hanyalah satu bentuk harta intelek. Hak cipta tidak sama dengan tanda dagangan, yang melindungi nama jenama, cogan kata, logo, dan pengecam sumber lain daripada digunakan oleh orang lain untuk tujuan tertentu. Hak cipta juga berbeza daripada undang-undang paten, yang melindungi ciptaan.

YouTube menawarkan proses pengalihan keluar yang berasingan untuk video yang melanggar undang-undang tanda dagangan atau undang-undang lain.

Apakah perbezaan antara hak cipta dengan privasi?

Kemunculan anda dalam video, imej, atau rakaman audio semata-mata tidak bermakna anda memiliki hak cipta terhadap bahan itu. Contohnya, jika rakan anda merakamkan perbualan antara anda berdua, mereka memiliki hak cipta terhadap rakaman video itu. Perkataan yang anda berdua tuturkan tidak tertakluk pada hak cipta secara berasingan daripada video itu sendiri, melainkan perkataan itu telah ditetapkan dahulu.

Jika rakan anda, atau orang lain, memuat naik video, imej, atau rakaman anda tanpa kebenaran anda dan anda berpendapat tindakan ini melanggar privasi atau keselamatan anda, anda boleh memfailkan aduan privasi.

Mitos biasa hak cipta

Yang berikut ialah beberapa contoh salah tanggapan biasa tentang hak cipta dan cara hak cipta berfungsi pada YouTube. Perlu diingat bahawa melakukan perkara yang berikut tidak akan melindungi kandungan anda daripada permintaan pengalihan keluar hak cipta atau tuntutan Content ID:

Mitos 1: Memberikan penghargaan kepada pemilik hak cipta bermakna anda boleh menggunakan kandungan mereka

Memberikan penghargaan kepada pemilik hak cipta tidak bermakna anda diberi hak untuk menggunakan kandungan berhak cipta mereka secara automatik. Anda perlu memastikan anda mendapat semua hak yang diperlukan kepada semua elemen dilindungi hak cipta dalam video anda sebelum memuat naik video itu pada YouTube.

Jika anda berpendapat penggunaan kandungan dilindungi hak cipta anda layak sebagai pengecualian hak cipta, seperti penggunaan saksama atau urus niaga saksama, perlu diingat bahawa, walaupun anda menambahkan bahan pada karya berhak cipta seseorang, video anda mungkin tidak layak untuk pengecualian hak cipta. Pastikan anda menilai kandungan anda dengan teliti, dan mendapatkan nasihat undang-undang jika perlu, sebelum anda memuat naik video.

Mitos 2: Menuntut “bukan keuntungan” bermakna anda boleh menggunakan sebarang kandungan

Walaupun anda tidak berniat untuk menjana pendapatan daripada penggunaan hasil kerja yang dilindungi oleh hak cipta, hal ini tidak mencegah tuntutan hak cipta. Pengisytiharan muat naik anda adalah “untuk tujuan hiburan sahaja” atau “bukan keuntungan”, sebagai contoh, tidak cukup untuk membuktikan anda boleh menggunakan kandungan itu.

Dari segi pengecualian hak cipta, seperti penggunaan saksama atau urus niaga saksama, Mahkamah akan meneliti tujuan penggunaan anda semasa menilai sama ada penggunaan ini layak sebagai pengecualian hak cipta atau tidak. Contohnya, penggunaan “bukan keuntungan” digemari dalam analisis penggunaan saksama, tetapi tidak merupakan pertahanan yang automatik dengan sendirinya.

Mitos 3: Pencipta lain menggunakan kandungan berhak cipta, maka anda juga boleh melakukan perkara yang sama

Walaupun masih terdapat video pada laman yang kelihatan serupa dengan video yang telah anda muat naik, hal ini tidak bermakna anda juga berhak untuk menyiarkan kandungan tersebut.

Kadangkala, pemilik hak cipta mengizinkan pemaparan sebahagian, tetapi bukan seluruh hasil kerjanya pada laman kami. Pada masa yang lain, video amat serupa yang dimiliki oleh pemilik hak cipta yang berbeza dan salah seorang pemilik mungkin memberikan kebenaran sementara yang seorang lagi tidak.

Mitos 4: Anda boleh menggunakan kandungan yang dibeli pada iTunes, CD, atau DVD

Hanya kerana anda membeli kandungan tidak bermakna anda memiliki hak untuk memuat naik kandungan itu kepada YouTube. Walaupun anda memberikan penghargaan kepada pemilik hak cipta, penyiaran video yang mengandungi kandungan yang anda beli masih boleh melanggar undang-undang hak cipta.

Mitos 5: Kandungan yang anda rakam sendiri daripada TV, panggung wayang, atau radio dibenarkan

Hanya kerana anda merakam sesuatu sendiri, hal ini tidak bermakna anda memiliki semua hak untuk memuat naik rakaman tersebut kepada YouTube. Jika rakaman anda mengandungi kandungan dilindungi hak cipta orang lain, seperti muzik berhak cipta yang dimainkan pada latar, maka anda masih perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik hak cipta.

Mitos 6: Menyatakan “tidak bertujuan untuk melanggar hak cipta”

Frasa dan penafian seperti “semua kandungan adalah hak milik pengarang”, “tidak bertujuan untuk melanggar hak cipta” atau “Bukan milik saya” tidak bermakna anda mendapat kebenaran pemilik hak cipta untuk menyiarkan kandungan itu, dan tidak bermakna penggunaan kandungan itu layak sebagai pengecualian hak cipta secara automatik, seperti penggunaan saksama atau urus niaga saksama.

Mitos 7: Penggunaan kandungan berhak cipta selama beberapa saat boleh diterima

Mana-mana bahagian kandungan dilindungi hak cipta yang digunakan tanpa kebenaran daripada pemilik hak cipta, walaupun hanya beberapa saat boleh menyebabkan video anda mendapat tuntutan hak cipta. Jika anda berpendapat penggunaan kandungan itu layak sebagai pengecualian hak cipta, seperti penggunaan saksama atau urus niaga saksama, perlu diingat bahawa hanya Mahkamah yang boleh membuat penentuan.

Adakah perkara ini membantu?

Bagaimanakah dapat kami meningkatkannya?
Cari
Kosongkan carian
Tutup carian
Menu utama
16540968236795884087
true
Cari di Pusat Bantuan
true
true
true
true
true
59
false
false
false
false