Advertiser-friendly Content Guidelines & Yellow Monetization Icons
Untuk meningkatkan ketepatan keputusan ikon kuning kami dan mengewangkan video anda dengan lebih pantas, kami sedang mencuba penghantaran video secara automatik yang menerima rating “Iklan terhad atau tiada iklan” bagi semakan tambahan yang mungkin dilengkapkan oleh jurusemak.
YouTube memahami kepentingan membuat keputusan pengewangan yang tepat. Semakan tambahan bertujuan untuk meningkatkan kestabilan dan ketepatan penilaian pengewangan, mengurangkan keperluan membuat rayuan dan meningkatkan keyakinan terhadap status pengewangan video anda.
Bagaimanakah semakan tambahan berfungsi?
Apabila anda memuat naik video, sistem kami membuat semakan berdasarkan garis panduan kandungan mesra pengiklan kami dan anda akan melihat ikon jam 'menyemak' berwarna kelabu. Dalam kebanyakan keadaan, ikon ini akan bertukar kepada warna hijau dalam masa beberapa minit. Walau bagaimanapun, jika video tersebut pada mulanya ditetapkan kepada keadaan pengewangan 'Terhad atau tiada iklan' (juga dikenali sebagai “ikon kuning”), video akan dihalakan untuk semakan tambahan secara automatik dan ikon jam 'menyemak' berwarna kelabu akan kekal sehingga semakan selesai. Pada masa ini, anda juga akan melihat mesej pada YouTube Studio yang tertera 'Semakan tambahan'. Proses ini akan dilengkapkan dalam masa beberapa jam bagi kebanyakan video. Walau bagaimanapun, proses ini boleh mengambil masa hingga 24 jam.
Walaupun selepas semakan tambahan ini dilaksanakan, anda masih boleh membuat rayuan terhadap keputusan jika anda membantah. Proses semakan tambahan ini memberi kami keyakinan yang tinggi terhadap ketepatan keputusan pengewangan kami. Walau bagaimanapun, kami masih mahu memastikan pencipta diberi pilihan untuk menyerahkan rayuan.
Kami menggalakkan agar anda memuat naik kandungan anda sebagai “tidak tersenarai” atau “peribadi” seawal mungkin dan menunggu proses semakan kesesuaian iklan selesai sebelum menukar status kepada umum.
Apakah manfaat semakan tambahan?
- Keyakinan yang Lebih Tinggi terhadap Pengewangan: Keputusan pengewangan awal yang lebih tepat membawa kepada penilaian video yang lebih stabil.
- Pengurangan Rayuan: Mengurangkan keperluan meminta semakan tambahan secara manual, lantas menjimatkan masa dan tenaga.
- Peningkatan Peluang Pengewangan: Meningkatkan kebarangkalian untuk mengewangkan kandungan anda sepenuhnya dari awal.
Video Peribadi
YouTube beriltizam untuk menyediakan alatan dan sokongan yang anda perlukan bagi membuat dan mengewangkan video dengan berkesan. Semakan tambahan mewakili komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman pengewangan bagi pencipta. Jika anda mahu mengemukakan pertanyaan lanjut, sila hubungi pasukan sokongan atau forum komuniti kami.
Soalan Lazim
S: Mengapakah YouTube menambahkan ulasan tambahan untuk semakan kesesuaian iklan?
J: Kami sedar betapa pentingnya pengewangan video sebaik sahaja video tersebut diterbitkan, pada saat bilangan penonton mula-mula memuncak. Untuk meningkatkan ketepatan dan mengurangkan kekecewaan semasa membuat rayuan, kami memperkenalkan semakan tambahan untuk semakan kesesuaian iklan semasa muat naik. Hal ini bermakna anda akan menerima keputusan pengewangan yang lebih boleh dipercayai, meminimumkan kelewatan dan usaha yang berkaitan dengan rayuan untuk membolehkan anda mula menjana pendapatan lebih awal.
S: Adakah saya kini perlu menunggu selama 24 jam untuk melihat ikon pengewangan? Tempoh itu terlalu lama!
J: Tidak. Kebanyakan kandungan yang kami semak menerima keputusan dalam masa beberapa minit dan hal itu tidak sepatutnya berubah. Perkara yang akan berubah adalah untuk sebahagian kecil video dan kami akan menambahkan beberapa semakan tambahan untuk memastikan ketepatan. Proses membuat keputusan awal mungkin mengambil masa yang lebih lama, tetapi kami menyasarkan untuk memberikan keputusan yang lebih tepat. Hal ini boleh mengelakkan rayuan yang tidak diperlukan dan membolehkan anda mengewangkan kandungan anda dengan lebih pantas. Sebelum ini, video yang menerima ikon kuning memerlukan anda membuat rayuan untuk menerima semakan tambahan dan proses tersebut telah memanjangkan masa menunggu bagi pencipta untuk mengewangkan video mereka. Kemaskinian ini bertujuan untuk membantu pencipta membuat keputusan yang tepat tentang pengewangan dengan lebih pantas dan mengehadkan keperluan membuat rayuan.
S: Apakah yang perlu saya lakukan jika video saya berada dalam peringkat “menyemak” untuk tempoh yang lama?
J: Pencipta tidak perlu mengambil apa-apa tindakan jika video mereka kekal dalam peringkat “menyemak” hingga 24 jam. Anda akan melihat bahawa status keputusan pengewangan anda kekal sebagai “menyemak” sehingga keputusan muktamad tersedia. Setelah keputusan dicapai, kami akan memberitahu anda melalui e-mel dan keputusan pengewangan akan dipaparkan pada tab kandungan dalam Studio.
S: Adakah saya akan memperoleh wang yang sedikit jika status video saya dalam semakan hingga 24 jam?
J: Matlamat kemaskinian ini adalah untuk menyokong pencipta membuat pengewangan dengan lebih pantas dan lebih tepat berdasarkan keputusan pengewangan kami. Kami sedar betapa pentingnya pengewangan video sebaik sahaja video tersebut diterbitkan, pada saat bilangan penonton mula-mula memuncak. Sebelum ini, video yang menerima ikon kuning memerlukan anda membuat rayuan untuk menerima semakan tambahan dan proses tersebut telah memanjangkan masa menunggu bagi pencipta untuk mengewangkan video mereka. Kemaskinian ini bertujuan untuk membantu pencipta membuat keputusan yang tepat tentang pengewangan dengan lebih pantas dan mengehadkan keperluan membuat rayuan. Seperti biasa, kami mengesyorkan anda menunggu penyemakan selesai sebelum menetapkan video anda kepada umum untuk memaksimumkan potensi hasil video anda.
S: Mengapakah YouTube menyemak video dengan keterlihatan yang ditetapkan kepada “peribadi”? Apakah yang akan berlaku jika saya tidak mahu video ini disemak untuk kesesuaian iklan?
J: Video peribadi tidak akan dipaparkan dalam tab Video pada halaman utama saluran anda. Namun begitu, sistem YouTube dan jurusemak boleh menyemak video peribadi untuk mengenal pasti kesesuaian iklan, hak cipta dan mekanisme pencegahan penyalahgunaan yang lain.