Jumlah kandungan video YouTube amat banyak — lebih 500 jam dimuat naik setiap minit! Tanpa fungsi carian yang mantap, hampir mustahil untuk menemukan kandungan yang anda perlukan. Oleh sebab itu, sistem kedudukan carian YouTube direka bentuk untuk membantu anda menemukan kandungan yang dicari dengan pantas.
Sistem kedudukan carian YouTube
Sistem YouTube mengutamakan tiga elemen penting untuk mendapatkan hasil carian terbaik. Kepentingan elemen ini mungkin berbeza-beza mengikut jenis carian. Elemen itu ialah:
- Kaitan
- Pelibatan
- Kualiti
Untuk menganggarkan kaitan, kami meneliti pelbagai faktor, seperti padanan antara tajuk, tag, perihalan, dan kandungan video dengan pertanyaan carian anda. Isyarat pelibatan merupakan cara yang berguna untuk menentukan kaitan. Kami melihat pelibatan pengguna secara keseluruhan, seperti masa tontonan video tertentu bagi pertanyaan tertentu untuk menentukan sekiranya video itu dianggap berkaitan dengan pertanyaan oleh pengguna lain. Akhir sekali, untuk kualiti, sistem kami direka bentuk untuk mengenal pasti isyarat yang dapat membantu kami menentukan saluran yang menunjukkan kepakaran, kewibawaan, dan kebolehpercayaan dalam topik tertentu.
Selain tiga elemen penting tersebut, kami berusaha untuk menyampaikan hasil carian yang berkaitan secara peribadi. Atas sebab tersebut, sistem kami mungkin turut mempertimbangkan sejarah carian dan tontonan anda; jika anda telah menghidupkan ciri tersebut. Oleh sebab itu hasil carian anda mungkin berbeza daripada hasil carian pengguna lain bagi pertanyaan yang sama.