Sistem pencarian dan penemuan YouTube membantu penonton mencari video yang berkemungkinan besar ditonton dan memaksimumkan kepuasan penonton untuk jangka masa panjang. Dapatkan jawapan tentang video anda dan prestasi saluran dengan Soalan Lazim yang berikut.
Carian YouTube & Penemuan: 'Algoritma' dan Soalan Lazim Prestasi
Dapatkan petua penemuan video sebagai pencipta.
Soalan Lazim Penemuan
Cara YouTube memilih video yang hendak dipromosikan?
Sistem pengesyoran kami mengetengahkan set video terbaik untuk ditawarkan kepada khalayak anda dengan memberikan perhatian kepada:
- Kandungan yang ditonton
- Kandungan yang tidak ditonton
- Kandungan yang dicari
- Suka dan tidak suka
- Maklum balas 'tidak berminat'
Bagaimanakah boleh saya mempromosikan video saya kepada khalayak yang lebih besar?
Anda tidak perlu menjadi seorang pakar dalam algoritma atau analitis untuk berjaya dalam YouTube, sebaliknya, fokuskan pada mengenali khalayak anda. Sistem pengesyoran kami tidak mempromosikan video kepada khalayak anda, sebaliknya sistem ini mencari video untuk khalayak anda apabila mereka melawat YouTube. Kedudukan video ditentukan berdasarkan prestasi dan perkaitan pada khalayak anda, dan bukan semua video layak disyorkan.
Bagaimanakah kedudukan video ditentukan pada Halaman Utama?
Halaman Utama ialah halaman yang khalayak anda lihat apabila mereka membuat apl YouTube atau melawat YouTube.com. Pada Halaman Utama ini kami menyasarkan untuk menyampaikan syor diperibadikan dan paling berkaitan dengan setiap penonton. Apabila khalayak anda melawat Halaman Utama, YouTube memaparkan video daripada langganan. Video ditonton oleh penonton yang serupa dan video baharu juga dipaparkan. Pilihan video adalah berdasarkan:
- Prestasi -- Tahap kebolehan video anda menarik minat dan memuaskan penonton yang serupa, antara faktor lain.
- Sejarah tontonan dan carian -- Kekerapan khalayak anda menonton saluran atau topik dan kekerapan kami memaparkan setiap video.
Perlu diingat bahawa bukan semua kandungan layak disyorkan pada Halaman Utama YouTube.
Bagaimanakah video dipilih untuk Sohor Kini?
Semak artikel ini tentang cara Sohor Kini berfungsi.
Bagaimanakah kedudukan video ditentukan pada senarai Disyorkan dalam bahagian 'Seterusnya'?
Video Disyorkan disyorkan seiring dengan video yang khalayak anda sedang tonton dalam bahagian 'Seterusnya'. Video Disyorkan diberikan kedudukan dengan tujuan untuk menawarkan video yang paling berkemungkinan ditonton seterusnya oleh khalayak anda. Video tersebut sering dikaitkan dengan video yang ditonton oleh khalayak anda tetapi video itu juga boleh diperibadikan berdasarkan sejarah tontonan.
Perlu diingat bahawa bukan semua kandungan layak disyorkan pada halaman Tonton Seterusnya.
Bagaimanakah kedudukan video ditentukan dalam Carian?
Seperti enjin carian Google, carian YouTube menyasarkan untuk memaparkan hasil carian yang paling berkaitan berdasarkan carian kata kunci. Kedudukan video ditentukan berdasarkan faktor yang berikut:
- Tahap padanan tajuk, perihalan, dan kandungan video dengan carian penonton.
- Jenis video yang mendorong interaksi tertinggi untuk carian.
Note: Hasil carian bukan senarai video dengan tontonan tertinggi untuk carian tertentu.
Adakah dengan menukar tajuk atau lakaran kecil video akan mengubah kedudukan video dalam algoritma?
Mungkin, tetapi hal ini kerana sistem kami memberikan respons terhadap cara penonton berinteraksi dengan video anda secara berbeza daripada tindakan menukar tajuk atau lakaran kecil video. Apabila video anda kelihatan berbeza pada penonton, hal ini mengubah cara penonton berinteraksi dengan video apabila ditawarkan kepada mereka. Menukar tajuk dan lakaran kecil video anda boleh menjadi cara yang efektif untuk mendapatkan lebih tontonan tetapi jangan tukar sesuatu yang berhasil.
Bagaimanakah boleh saya mengoptimumkan tajuk dan lakaran kecil saya untuk penemuan?
Anda boleh menggunakan petua ini untuk mengoptimumkan tajuk dan lakaran kecil anda untuk penemuan:
- Pastikan lakaran kecil anda mengikut dasar lakaran kecil kami.
- Gunakan tajuk yang menarik untuk video anda yang mewakili kandungan dengan tepat.
- Buat lakaran kecil yang mewakili kandungan anda dengan tepat.
- Elakkan daripada menggunakan tajuk dan lakaran kecil yang:
- Menipu, mengelirukan, berunsurkan umpan klik atau sensasi: Salah nyata kandungan video
- Mengejutkan: Termasuk bahasa yang menyinggung atau keterlaluan
- Menjijikkan: Mengandungi imejan memualkan atau mengerikan
- Keganasan yang tidak sepatutnya: Menggalakkan keganasan atau penyalahgunaan yang tidak sepatutnya
- Tidak senonoh: Bermaksud kelakuan tidak senonoh berunsurkan seks atau lucah
- Lantang: Gunakan SEMUA HURUF BESAR atau !!!!! untuk memberikan penekanan secara berlebihan pada tajuk
Kaedah ini boleh menyebabkan penonton baharu yang kemungkinan mengelak daripada kandungan anda dan dalam sesetengah kes boleh menyebabkan kandungan anda dialih keluar kerana pelanggaran Garis Panduan Komuniti.
Adakah status pengewangan (ikon kuning) memberikan kesan pada penemuan video saya?
Tidak, sistem carian dan pengesyoran kami tidak tahu jenis video yang diwangkan atau tidak diwangkan. Kami menumpukan pada mengesyorkan video yang memberikan kepuasan kepada khalayak, tanpa mengira sama ada video tersebut diwangkan atau tidak. Jika video anda mengandungi kandungan ganas atau grafik, video tersebut boleh dinyahwangkan. Video tersebut juga tidak disyorkan kepada ramai khalayak kerana berunsurkan tidak senonoh. Dalam contoh ini, bukan penyahwangan yang menyebabkan video tersebut kurang disyorkan tetapi kandungan dalam video tersebut.
Adakah Tag penting?
Tidak penting. Tag digunakan untuk membetulkan kesilapan ejaan yang lazim (contohnya YouTube lwn. U Tube lwn You-tube).
Adakah dengan menetapkan lokasi saluran saya ke negara/rantau tertentu dapat membantu saya mencapai lebih ramai penonton dalam khalayak tersebut? (mis. Menukar lokasi ke AS walaupun saya berada di Brazil)
Tidak, tetapan lokasi tidak digunakan untuk memberitahu cara video disyorkan pada YouTube.
Adakah Suka/Tidak Suka memberikan kesan pada cara video saya disyorkan?
Agak betul. Suka dan tidak suka merupakan satu daripada ratusan isyarat yang kami ambil kira untuk menentukan kedudukan. Sistem pengesyoran kami dapat mengetahui sama ada penonton memilih untuk menonton video atau tidak. Sistem dapat mengetahui jumlah bahagian video yang penonton tonton dan jika mereka berpuas hati. Prestasi video keseluruhan anda ditentukan oleh gabungan faktor yang berikut.
Jika saya memuat naik video sebagai tidak tersenarai, kemudian ditukarkan kepada umum, adakah tindakan tersebut akan menjejaskan prestasi video saya?
Tidak, yang penting ialah cara penonton memberikan respons selepas video diterbitkan.
Soalan Lazim Prestasi
Jika satu daripada video saya berprestasi kurang memuaskan, adakah hal tersebut akan menjejaskan saluran saya?
Perkara yang penting ialah cara penonton menjawab kepada setiap video apabila disyorkan kepada mereka. Sistem kami lebih bergantung pada video dan isyarat tahap khalayak untuk menentukan jenis video yang menjadi syor terbaik untuk khalayak anda. Perkara yang boleh membawa kepada pengurangan tontonan saluran secara menyeluruh adalah apabila penonton berhenti menonton kebanyakan video anda apabila disyorkan kepada mereka.
Jika saya berehat sebentar daripada memuat naik video, adakah tindakan tersebut akan menjejaskan prestasi saluran saya?
Kami menggalakkan anda berehat sebentar apabila perlu. Kami mengkaji ribuan saluran yang berehat dan mendapati tiada hubung kait antara tempoh rehat dengan perubahan pada tontonan. Perlu diingat bahawa sedikit masa diperlukan untuk “membiasakan” semula khalayak anda agar mereka dapat kembali kepada rutin menonton yang biasa.
Adakah saya perlu memuat naik video setiap hari atau sekurang-kurangnya sekali seminggu?
Tidak, kami telah melakukan analisis sejak beberapa tahun lalu dan mendapati bahawa pertumbuhan bilangan tontonan merentas muat naik tiada hubung kait dengan sela masa memuat naik video. Ramai pencipta membina hubungan yang kukuh dengan khalayak mereka melalui kualiti, bukan kuantiti. Kami menggalakkan anda menjaga diri untuk mengelakkan daripada kelesuan kerana kesihatan anda penting untuk khalayak dan kesejahteraan anda.
Bilakah masa paling sesuai untuk menerbitkan video?
Masa terbitan tidak memberikan kesan pada prestasi jangka panjang video. Sistem pengesyoran kami menyasarkan penyampaian video yang betul kepada penonton yang betul, tanpa mengira masa video tersebut dimuat naik. Walau bagaimanapun, masa terbit adalah penting untuk format seperti video Langsung dan Tayangan Perdana. Semak Laporan masa penonton anda mengakses YouTube dalam YouTube Analytics untuk memahami waktu yang sesuai untuk menjadualkan Tayangan Pertama, atau merancang strim langsung anda yang seterusnya.
Menerbitkan video ketika khalayak anda sedang aktif boleh memberikan manfaat kepada penonton awal tetapi tidak memberikan kesan pada penonton jangka panjang video.
Apakah yang lebih penting, purata peratusan ditonton atau purata tempoh tontonan?
Sistem penemuan kami menggunakan masa tontonan yang mutlak dan relatif sebagai isyarat apabila menentukan keterlibatan khalayak dan kami menggalakkan anda melakukan hal yang sama. Pada dasarnya, kami mahu video tempoh pendek dan panjang berjaya, maka kami menggalakkan anda membuat video dengan tempoh yang sesuai bergantung pada kandungan. Secara umumnya, masa tontonan relatif adalah lebih penting untuk video pendek dan masa tontonan mutlak adalah lebih penting untuk video panjang. Anda boleh menggunakan pengekalan khalayak untuk memahami tempoh penonton anda sanggup menonton, dan melaraskan kandungan anda dengan sewajarnya.
Mengapakah penonton saya lebih rendah daripada bilangan pelanggan saya?
Bilangan pelanggan anda mencerminkan jumlah penonton yang telah melanggan untuk mengikut saluran YouTube anda. Kiraan tersebut tidak mewakili bilangan penonton yang menonton video anda. Secara purata, penonton melanggan berdozen saluran dan mungkin tidak kembali untuk menonton setiap video baharu yang dimuat naik untuk saluran yang mereka langgan. Sudah menjadi perkara biasa untuk penonton melanggan saluran yang tidak ditonton lagi. Kenali khalayak anda dengan YouTube Analytics.
Mengapakah trafik saluran saya semakin berkurangan daripada Halaman Utama atau Disyorkan?
Terdapat pelbagai sebab tontonan saluran menaik dan menurun dari semasa ke semasa. Yang berikut merupakan beberapa sebab penurunan trafik yang paling lazim daripada syor:
- Khalayak anda lebih menonton video dan saluran lain pada YouTube.
- Khalayak anda kurang menghabiskan masa pada YouTube.
- Anda mempunyai beberapa video berprestasi tinggi, atau video yang “tular” tetapi penonton tersebut tidak kembali untuk menonton lebih video.
- Kurang kerap memuat naik daripada biasa.
- Topik yang menjadi tumpuan dalam video anda semakin kurang popular.
Perlu diingat bahawa minat khalayak anda boleh berubah dari semasa ke semasa. Penting untuk anda sentiasa mencuba topik dan format baharu. Untuk membina khalayak, pencipta perlu mengekalkan penonton sedia ada dan pada masa yang sama menarik penonton baharu.
Video lama menjadi tular baru-baru ini, mengapa?
Penonton mula menunjukkan minat yang lebih terhadap video lama merupakan perkara yang biasa. Ramai penonton tidak menonton video mengikut kronologi atau menentukan video yang mahu ditonton berdasarkan waktu video tersebut diterbitkan. Jika penonton menonton menunjukkan minat yang lebih terhadap video lama, hal ini mungkin kerana:
- Topik video anda semakin meningkat popular.
- Penonton baharu mula menemukan saluran anda dan menonton berturut-turut video lama anda.
- Lebih ramai penonton memilih untuk menonton video anda apabila ditawarkan kepada mereka dalam syor.
- Anda mengeluarkan video baharu dalam siri, kemudian menggesa penonton untuk menonton semula episod lama anda.
Apabila video lama mula mendapat lebih trafik, fikirkan tentang jenis muat naik yang boleh anda keluarkan seterusnya yang mampu menarik penonton untuk kembali menonton lebih banyak video.
Apakah kesan peruntukan ‘Dihasilkan untuk Kanak-kanak’ terhadap prestasi video saya?
Video yang ditetapkan sebagai dihasilkan untuk kanak-kanak lebih berkemungkinan akan disyorkan seiring dengan video kanak-kanak yang lain. Kandungan yang tidak ditetapkan sendiri dengan betul mungkin tidak disyorkan seiring dengan video serupa yang lain.