Halaman Kandungan apl ialah tempat anda menyediakan dan mengurus maklumat yang kami perlukan untuk memastikan apl anda selamat untuk pengguna yang dimaksudkan, mematuhi Dasar Program Pembangun Google Play dan memenuhi keperluan undang-undang.
Ikhtisar
Halaman Kandungan apl membolehkan kami mengetahui kandungan apl anda. Anda boleh melengkapkan pengisytiharan dasar dan memberikan maklumat lain, seperti arahan akses khas untuk pengulas, pada halaman ini. Yang berikut ialah beberapa contoh lain bagi perkara yang boleh anda lakukan pada halaman Kandungan apl untuk memastikan apl anda mematuhi dasar Google Play
- Menambahkan dasar privasi anda untuk berkongsi cara anda mengendalikan data pengguna dan peranti yang sensitif.
- Mengisytiharkan sama ada apl anda mengandungi iklan atau pun tidak.
- Memberikan dan mengurus arahan tentang cara mengakses bahagian terhad apl anda.
- Memberikan butiran tentang khalayak sasaran dan kandungan apl anda.
- Menerangkan cara anda akan menggunakan sebarang kebenaran berisiko tinggi atau sensitif seperti kebenaran Log SMS/Panggilan.
- Menerima rating kandungan daripada pihak berkuasa rating rasmi.
- Memberitahu kami tentang amalan privasi dan keselamatan apl anda.
- Mengisytiharkan bahawa apl anda merupakan apl Berita.
Halaman Kandungan apl mengandungi dua tab:
- Memerlukan perhatian: Pengisytiharan dasar yang memerlukan perhatian anda dipaparkan di sini. Anda perlu melengkapkan pengisytiharan sebelum tarikh akhir yang berkaitan bagi mematuhi dasar Google Play.
- Diambil tindakan: Pengisytiharan dasar yang telah diambil tindakan dipaparkan di sini. Kami akan memberitahu anda jika kami menemukan sebarang masalah. Untuk mematuhi dasar Google Play, anda mestilah menyemak maklumat yang anda berikan secara kerap dan memastikan maklumat anda sentiasa terkini.
Memberikan maklumat apl
Dasar privasi
Menambahkan dasar privasi pada penyenaraian gedung apl anda memberikan ketelusan tentang cara anda mengendalikan data pengguna dan peranti yang sensitif.
Dasar privasi bersama dengan sebarang pendedahan dalam apl mesti mendedahkan secara menyeluruh cara apl anda mengumpulkan, menggunakan dan berkongsi data pengguna. Maklumat ini termasuk jenis pihak yang terlibat dalam perkongsian data itu. Anda perlu merujuk wakil perundangan anda untuk menasihati anda tentang perkara yang diperlukan.
- Untuk apl yang meminta akses kepada kebenaran atau data sensitif (seperti yang ditakrifkan dalam dasar data pengguna): Anda perlu menyediakan pautan kepada dasar privasi pada halaman penyenaraian gedung apl anda dan pada apl anda. Pastikan dasar privasi anda tersedia pada URL yang aktif, berkenaan dengan apl anda dan meliputi privasi pengguna secara khusus.
- Untuk apl yang menyasarkan kanak-kanak: Anda perlu menyediakan pautan kepada dasar privasi pada halaman penyenaraian gedung apl anda dan pada apl anda, tanpa mengira akses apl anda kepada kebenaran atau data sensitif. Pastikan dasar privasi anda tersedia pada URL yang aktif, berkaitan dengan apl anda dan meliputi privasi pengguna secara khusus. Ambil perhatian bahawa walaupun apl yang tidak mengakses mana-mana data pengguna yang bersifat peribadi atau sensitif masih perlu menyerahkan dasar privasi.
Tambahkan dasar privasi
- Buka Play Console dan akses halaman Kandungan apl (Dasar dan program > Kandungan apl).
- Dalam bahagian "Dasar Privasi," pilh Mula.
- Nota: Jika sebelum ini anda telah menambahkan dasar privasi dan mahu membuat perubahan, anda akan melihat dan memilih Urus dan bukannya Mula.
- Masukkan URL yang mengehoskan dasar privasi itu di dalam talian.
- Simpan perubahan anda.
Iklan
Anda mestilah mengisytiharkan sama ada apl anda mengandungi iklan atau tidak. Perkara ini termasuk iklan yang disiarkan melalui SDK iklan pihak ketiga (Kit Pembangunan Perisian), iklan paparan, iklan asli dan/atau iklan sepanduk). Apl yang mengandungi iklan akan memiliki label "Mengandungi iklan" yang dipaparkan pada penyenaraian gedung apl tersebut. Label ini akan dapat dilihat oleh semua pengguna Play Store.
Nota: Label "Mengandungi iklan" bukan bertujuan untuk menunjukkan sama ada apl mengandungi jenis kandungan komersial lain, seperti peletakan produk berbayar atau tawaran untuk membuat pembelian dalam apl atau peningkatan. Jika apl anda menyertakan peletakan produk berbayar, pastikan kandungan tersebut mematuhi undang-undang tempatan.
Isytiharkan sama ada apl anda mengandungi iklan atau pun tidak
- Buka Play Console dan akses halaman Kandungan apl (Dasar dan program > Kandungan apl).
- Dalam bahagian "Iklan", pilih Mula.
- Nota: Jika sebelum ini anda telah mengisytiharkan sama ada apl anda mengandungi iklan atau pun tidak dan anda mahu membuat perubahan, anda akan melihat dan memilih Urusdan bukannya Mula.
- Semak Dasar iklan untuk memastikan apl anda mematuhi dasar tersebut dan pilih Ya atau Tidak.
- Simpan perubahan anda.
Contoh
Berikut ialah beberapa contoh yang memerlukan anda menjawab "ya" bagi pengisytiharan mempunyai iklan untuk tujuan label "Mengandungi iklan". Senarai ini bukanlah senarai yang menyeluruh tetapi hanya beberapa contoh berdasarkan jenis iklan yang paling lazim.
- Sepanduk dan celahan: Apl saya bersepadu dengan SDK Iklan untuk memaparkan sepanduk dan/atau celahan. Saya menggunakan format iklan untuk mengewangkan dan/atau mempromosikan produk atau apl saya sendiri.
- Iklan asli: Apl saya disertakan dengan iklan asli yang tidak dapat dibezakan daripada kandungan lain (sebagai contoh, artikel yang ditaja, iklan dalam suapan dsb.).
- Iklan dalaman: Apl saya memaparkan sepanduk iklan kecil, iklan celahan, iklan dinding dan/atau widget untuk mempromosikan apl saya yang lain.
Anda harus menjawab "tidak" bagi pengisytiharan memaparkan iklan untuk tujuan label "Mengandungi iklan" jika anda hanya melakukan promosi silang untuk apl anda yang lain melalui cara yang berikut:
- Apl memaparkan bahagian Lagi Apl* dalam menu utama yang menghalakan pengguna ke apl anda yang lain
- Pilihan Lagi Apl* tidak mengganggu cara main
- Pilihan Lagi Apl* tidak mengelirukan pengguna dengan membenamkan pilihan tersebut dalam cara main
*Penggantian lain yang diterima untuk Lagi Apl termasuk Lagi Permainan, Lagi untuk Diteroka, Versi Penuh, Lagi, Perihal Kami atau Ikon Pembangun anda.
Pemantauan tambahan
Walaupun anda bertanggungjawab untuk mengisytiharkan kehadiran iklan dalam apl anda dengan tepat, Google boleh mengesahkan hal ini pada bila-bila masa dan memaparkan label "Mengandungi iklan" jika bersesuaian.
Jika anda berpendapat sistem kami telah tersilap melabelkan apl anda, hubungi pasukan sokongan kami untuk mendapatkan bantuan.
Penguatkuasaan
Jika anda membuat salah nyataan tentang kehadiran iklan dalam apl anda, anda dianggap telah melanggar dasar Google Play dan boleh menyebabkan apl anda digantung.
Akses apl
Jika keseluruhan atau sebahagian apl anda dihadkan berdasarkan bukti kelayakan log masuk, butiran log masuk, keahlian, lokasi atau bentuk pengesahan yang lain, anda mestilah memberikan semua butiran yang diperlukan untuk mendayakan akses kepada apl anda.
Tambah arahan untuk akses apl
- Buka Play Console dan akses halaman Kandungan apl (Dasar dan program > Kandungan apl).
- Dalam bahagian "Akses apl", pilih Mula.
- Nota: Jika sebelum ini anda telah menambah arahan untuk akses apl dan anda ingin membuat perubahan, anda akan melihat dan memilih Urus dan bukannya Mula.
- Klik + Tambahkan arahan baharu dan berikan butiran akses anda.
- Nota: Gunakan medan "Sebarang arahan lain" untuk memberitahu kami jika terdapat apa-apa yang istimewa tentang mekanisme log masuk anda, seperti penggunaan kata laluan sekali guna, pengesahan berbilang faktor atau log masuk dengan lebih daripada dua medan.
- Simpan perubahan anda.
Jika kemaskinian anda ditolak atau apl anda dialih keluar, sila ikut arahan di bawah untuk serahkan semula apl anda untuk semakan. Anda boleh melengkapkan langkah ini tanpa menghubungi atau menunggu balasan daripada pasukan sokongan dasar.
- Buka Play Console dan pergi ke halaman Akses apl.
- Kemas kini maklumat akses apl anda dan klik Simpan.
- Akses halaman Ikhtisar penerbitan. Anda boleh menemukan perubahan anda dalam bahagian "Perubahan sedia dihantar untuk semakan".
- Klik Hantar untuk semakan untuk menyerahkan perubahan anda untuk semakan. Akses artikel Pusat Bantuan ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengurusan apabila perubahan disemak dan diterbitkan.
Nota: Anda boleh menambahkan maksimum lima set arahan.
Khalayak sasaran dan kandungan
Anda mestilah mengisytiharkan kumpulan umur sasaran apl anda. Sebarang apl yang menyertakan kanak-kanak dalam khalayak sasaran apl tersebut mestilah mematuhi Keperluan dasar keluarga Google Play.
Anda perlu memberikan maklumat yang tepat tentang apl anda. Bergantung pada pilihan khalayak sasaran yang anda buat, apl anda mungkin tertakluk pada dasar tambahan Google Play. Anda boleh membiasakan diri anda dengan dasar tersebut dan mengetahui cara mengisi bahagian “Khalayak sasaran dan kandungan” bagi halaman Kandungan apl.
Anda juga boleh mengetahui proses yang berkaitan dan menyemak senarai semak interaktif menerusi Academy for App Success.
Borang pengisytiharan kebenaran
Permintaan kebenaran dinilai semasa proses keluaran selepas menambahkan Android App Bundle anda. Jika apl anda meminta penggunaan kebenaran berisiko tinggi atau sensitif (misalnya, SMS atau Log Panggilan), anda mungkin perlu melengkapkan Borang Pengisytiharan Kebenaran dan menerima kelulusan daripada Google Play.
Anda boleh mengetahui proses dan cara melengkapkan Borang Pengisytiharan Kebenaran pada halaman Kandungan apl.
Rating kandungan
Anda boleh menyampaikan rating kandungan yang sesuai dan berkaitan kawasan setempat kepada pengguna anda, serta membantu untuk menambah baik keterlibatan apl dengan menyasarkan khalayak yang tepat kepada kandungan anda.
Untuk mengelakkan apl anda daripada disenaraikan sebagai “Belum diberi rating”, log masuk ke Play Console dan isi soal selidik untuk setiap apl anda dengan secepat mungkin. Apl yang "Belum diberi rating" akan dialih keluar daripada Google Play.
Pergi ke Rating kandungan untuk apl dan permainan untuk mengetahui lebih lanjut tentang pihak berkuasa rating tertentu dan perihalan dan untuk mendapatkan arahan tentang cara melengkapkan bahagian ini bagi halaman Kandungan apl.
Apl pengesanan kontak dan status COVID-19
Anda mesti memberitahu kami sama ada apl anda mengandungi fungsi pengesanan kontak COVID-19 dan/atau status COVID-19.
Baca Keperluan untuk apl penyakit koronavirus 2019 (COVID-19) sebelum melengkapkan bahagian ini.
Untuk melengkapkan pengisytiharan apl pengesanan kontak dan status COVID-19:
- Buka Play Console dan pergi ke halaman Kandungan apl (Dasar > Kandungan apl).
- Di bawah "Apl pengesanan kontak dan status COVID-19", pilih Mula.
- Nota: Jika anda telah melengkapkan pengisytiharan sebelum ini dan anda ingin membuat perubahan, anda akan melihat dan memilih Urus dan bukannya Mula.
- Pilih semua pernyataan yang berkenaan dengan apl anda.
- Nota: Jika apl anda mengandungi fungsi pengesanan kontak atau status COVID-19, maka anda mesti juga mengesahkan bahawa apl anda mematuhi Keperluan untuk apl penyakit koronavirus 2019 (COVID-19).
- Simpan perubahan anda
Jika apl anda menyertakan fungsi pengesanan kontak atau status COVID-19, anda mesti memberikan notis lanjutan kepada pasukan Semakan Apl Google Play.
Apl Berita
Anda mestilah memaklumi kami jika apl anda ialah apl Berita. Apl Berita merupakan apl yang:
- Mengisytiharkan diri sebagai apl "Berita" dalam Google Play Console atau
- Menyenaraikan diri dalam kategori “Berita dan Majalah” pada Google Play Store dan memerihalkan diri sebagai “berita” dalam tajuk, ikon, nama pembangun atau perihalan apl.
Baca Keperluan untuk apl berita dan berkaitan berita sebelum melengkapkan bahagian ini.
Untuk melengkapkan pengisytiharan apl Berita:
- Buka Play Console dan akses halaman Kandungan apl (Dasar dan program > Kandungan apl).
- Dalam bahagian "Apl Berita", pilih Mula.
- Nota: Jika anda telah melengkapkan pengisytiharan sebelum ini dan anda mahu membuat perubahan, anda akan melihat dan memilih Urus dan bukan Mula.
- Isytiharkan bahawa apl anda merupakan apl Berita.
- Berikan maklumat untuk membantu kami mengesahkan bukti kelayakan anda sebagai penerbit berita. Terangkan cara anda mendapatkan kandungan berita yang dipaparkan pada apl anda.
- Contoh: Berikan pautan kepada laman web penerbit berita yang menunjukkan hubungan eksplisit dengan apl anda atau dokumentasi yang mengesahkan bukti kelayakan anda sebagai penerbit berita. Maklumat ini digunakan untuk memastikan apl anda mematuhi dasar Berita kami.
- Klik Simpan.