Jika anda sedang mempertimbangkan pembelian trafik untuk didorong ke laman anda, anda perlu meluangkan masa untuk memahami trafik yang akan anda terima dengan tepat. Secara khusus, anda perlu memahami cara penyedia trafik akan menghantar trafik dan jenis trafik yang akan anda terima. Anda juga perlu menyediakan akaun AdSense dan atur cara analitis web (seperti Google Analytics) supaya anda boleh memantau trafik.
Kami telah menyediakan senarai soalan untuk ditanya apabila anda mula mengkaji cara anda dan penyedia trafik boleh bekerjasama. Senarai ini bertujuan menjadi panduan dalam perbincangan anda bersama sebarang penyedia trafik yang anda pertimbangkan, tetapi senarai ini tidak menyeluruh:
-
Di manakah iklan anda akan dipaparkan?
- Jika anda tidak mengenali halaman yang akan memaparkan iklan anda, tanya penyedia trafik cara halaman tersebut memperoleh trafik dan sama ada anda boleh melihat sumber trafik halaman tersebut.
- Jika penyedia trafik tidak dapat memberikan butiran seperti URL contoh atau maklumat tentang sama ada halaman memperoleh trafik daripada sumber organik atau yang dibeli, anda perlu meneruskan tindakan dengan berhati-hati, memandangkan anda tidak tahu jenis trafik yang akan anda terima.
-
Bagaimanakah anda boleh mengesahkan peletakan iklan anda?
- Minta untuk melihat peletakan tersebut dalam masa nyata.
- Berwaspadalah jika anda tidak berjaya mendapatkan URL sampel yang membolehkan anda melihat iklan. Anda mungkin tidak mahu memaparkan iklan anda di halaman dewasa atau kandungan tidak berkaitan yang lain.
-
Bagaimanakah kos penyedia trafik ini berbanding dengan penyedia trafik lain?
- Jika penyedia trafik ini mengenakan caj yang jauh lebih rendah untuk peletakan iklan yang serupa, tanya mereka cara mereka dapat memberikan harga yang rendah.
- Jika harga nampaknya sukar dipercayai dan penyedia trafik tidak dapat memberikan penjelasan yang munasabah tentang cara mereka boleh membayar harga yang rendah untuk rangkaian mereka, maka ini mungkin tanda bahawa trafik mereka tidak dipaparkan di halaman bernilai tinggi.
-
Siapakah rakan kongsi lain yang membeli trafik daripada penyedia yang sama ini?
- Sebaik-baiknya anda perlu mengetahui sama ada rakan kongsi tersebut menggunakan perkhidmatan pengesahan iklan dan perkara yang dinyatakan oleh perkhidmatan tersebut secara umumnya tentang trafik yang telah dihantar oleh penyedia tersebut.
- Jika anda tidak dapat mencari rakan kongsi lain yang turut meletakkan iklan dengan penyedia trafik ini, mungkin ini petanda bahawa anda perlu meneruskan tindakan dengan berhati-hati.
Soalan lain yang mungkin anda ingin bertanya termasuklah:
- Adakah aliran trafik dihantar secara konsisten ke laman anda, dari sehari ke sehari atau seminggu ke seminggu?
- Sama ada laporan sumber trafik yang terperinci disediakan?
- Sama ada sumber trafik dapat dikenal pasti dengan mudah dalam log trafik atau atur cara analitis web?
- Bagaimanakah anda dapat mengukur kadar penukaran iklan anda?
Setelah anda berbincang dengan penyedia trafik dan ingin meneruskan kerjasama, anda juga mesti mempunyai keupayaan untuk memantau trafik yang dihantar oleh mereka ke laman anda. Sebaik-baiknya anda perlu bermula dengan ujian kecil, seperti menghantar trafik ke beberapa halaman anda dan memantau prestasi trafik tersebut. Untuk mendapatkan arahan terperinci tentang cara memantau trafik, lihat artikel kami tentang cara membahagikan trafik anda. Jika anda mendapati penyedia trafik menghantar trafik yang tidak anda jangkakan atau anda khuatir tentang kualiti trafik, kami cadangkan agar anda mematikan sumber trafik tersebut dengan serta-merta dan sila maklumkan kepada kami. Untuk mendapatkan maklumat lanjut secara umum tentang aktiviti yang tidak sah, sila lawati Pusat Sumber Kualiti Trafik Iklan kami.