Pada asasnya, API atau Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi ialah satu set peraturan dan spesifikasi yang membolehkan aplikasi perisian yang berbeza berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain. API ini bertindak sebagai pengutus mesej atau pengantara, yang membolehkan satu aplikasi meminta data atau perkhidmatan daripada aplikasi lain dan menerima respons.
AdSense menawarkan beberapa API untuk penerbit kami, terutamanya API Pengurusan AdSense, yang menyediakan cara yang fleksibel dan berkesan untuk penerbit mengurus akaun AdSense mereka dan mendapatkan cerapan yang lebih mendalam tentang prestasi iklan mereka sekali gus membantu mereka meningkatkan hasil serta mengoptimumkan strategi pengiklanan mereka.
API Pengurusan AdSense memberi pembangun keupayaan untuk:
- Menjana laporan: Mengakses maklumat terperinci tentang pendapatan AdSense, prestasi iklan dan metrik utama yang lain. Data ini boleh digunakan untuk menganalisis arah aliran, mengenal pasti peluang pengoptimuman dan membuat keputusan termaklum tentang peletakan iklan.
- Mengurus inventori: Membuat, mengemaskinikan dan memadamkan unit iklan pada laman web anda. Mengawal jenis iklan yang dipaparkan, menetapkan kriteria penyasaran dan melakukan percubaan dengan format iklan yang berbeza untuk memaksimumkan hasil.
- Mengakses tetapan akaun: Mendapatkan dan mengubah suai pelbagai tetapan akaun AdSense seperti maklumat pembayaran, keutamaan pusat semakan iklan dan laman yang dibenarkan.
- Mengautomasikan tugasan: Melaksanakan tugasan berulang seperti menjana laporan pada jadual atau mengemaskinikan unit iklan merentas berbilang laman web, yang akan menjimatkan masa dan tenaga penerbit.